Wednesday, September 22, 2010
Perkenal sistem tagal pulihara khazanah laut
DIHARGAI… Lajim menerima cendera kenangan dari Jeprin selepas melancarkan projek tukun tiruan tersebut
KUALA PENYU 19 Sept. - Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan penggunaan sistem tagal di kawasan tukun tiruan di perairan negeri dalam usaha memulihara khazanah laut secara berterusan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, langkah memperkenalkan konsep menangkap ikan bermusim di kawasan tukun tiruan itu amat penting bagi memastikan hasil laut negeri tidak berkurangan.
Selain itu katanya, sistem tersebut dapat memberi peluang kepada semua nelayan tempatan mendapat hasil lumayan setiap kali musim menangkap ikan.
"Sistem tagal ini boleh diperkenalkan dalam penangkapan ikan di laut khususnya di kawasan yang telah pun diletakkan tukun tiruan bagi membolehkan semua nelayan setempat menikmati hasil tangkapan secara bersama dan berjadual.
"Di samping itu ia juga dapat mengelakkan pencemaran dan kepupusan hasil laut akibat pencemaran melalui aktiviti penangkapan ikan secara tidak terkawal termasuk menangkap anak- anak ikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran tukun tiruan di Kampung Tempurung di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, John Teo Mah Sing; Penolong Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Jeprin Wong dan Pegawai Perikanan Kuala Penyu, Julin Bagang.
Tukun tiruan konkrit bernilai kira-kira RM200,000 itu disediakan oleh Jabatan Perikanan untuk dilabuhkan di perairan daerah ini.
Menurutnya, sistem tagal yang telah diamalkan di kebanyakan sungai di negeri ini perlu diperluaskan ke laut sebagai salah satu konsep pemuliharaan sumber perikanan laut melalui pembabitan masyarakat setempat.
Katanya, selain memastikan sumber ikan tidak mengalami kepupusan, sistem itu juga dapat mengelakkan penangkapan ikan secara salah seperti penggunaan bom ikan dan sebagainya.
"Pihak yang cuba memudaratkan laut seperti menangkap ikan dengan menggunakan bom ikan serta cara lain yang mencemarkan lautan di kawasan tukun tiruan boleh didenda melalui Peraturan Penagalan yang diiktiraf Mahkamah Anak Negeri," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment