Monday, May 17, 2010

52,240 Unit Rumah PPR Disewa Siap Dibina Di Seluruh Negara


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin

TAWAU, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 52,240 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Disewa untuk didiami golongan berpendapatan rendah, kurang upaya dan ibu tunggal sudah siap dibina di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan 74,084 unit rumah seumpamanya yang dirancang dibina dan disiapkan secara berperingkat di seluruh negara sehingga akhir tahun 2010.

"Kebanyakan rumah PPR Disewa yang dibangunkan adalah jenis rumah pangsa berbilang tingkat dan disewa pada kadar RM124 sebulan seunit. PPR Disewa yang siap dibina akan diserahkan kepada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan bagi mengendalikan urusan penyelenggaraan dengan menggunakan hasil sewaan dikutip," katanya.

Lajim berkata demikian dalam teks ucapannya sempena majlis penyerahan rumah PPR Disewa Batu 8 yang mengandungi 900 unit dengan kos pembinaannya berjumlah RM59.3 juta di Jalan Apas di sini Isnin.

Teks ucapan Lajim dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Menurut Lajim, kerajaan persekutuan mengambil langkah membina lebih banyak rumah PPR berkenaan temasuk di Sabah adalah selaras dengan sasaran mencapai setinggan sifar di negara ini menjelang tahun 2020.

Bagi tujuan itu kata Lajim, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, kerajaan telah mensasarkan pembinaan rumah sebanyak 709,400 unit bagi tempoh tahun 2006 hingga 2010.

Katanya daripada jumlah berkenaan 270,905 unit atau 38.2 peratus adalah untuk program perumahan untuk golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana dan 140,005 unit daripadanya akan dibina oleh sektor awam.

"Secara keseluruhan kerajaan telah memperuntukkan RM9.5 bilion untuk sektor perumahan dalam RMK-9 berbanding hampir RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kelapan," kata Lajim.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Tawfiq berkata dengan adanya projek PPR melalui pemilihan peserta yang berkesan penempatan setinggan di Sabah termasuk Tawau dapat dikurangkan seterusnya membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dikaitkan dengan setinggan seperti jenayah, kecurian bekalan air dan elektrik, kesihatan dan gejala sosial.

Katanya penempatan penghuni setinggan di rumah PPR berkenaan juga akan membolehkan kerajaan membangunkan bekas kawasan setinggan dengan projek-projek lebih berfaedah yang manfaatnya akan dinimati oleh rakyat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam teks ucapannya yang dibacakan pembantunya Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pula mengingatkan penyewa unit PPR supaya tidak menyewakan semula unit mereka kepada penyewa lain.

Katanya sekiranya ada kes sedemikian, penyewa berkenaan akan diminta mengosongkan unit rumah masing-masing dan nama mereka akan disenarai hitamkan pihak jawatankuasa penempatan PPR Disewa.

"Kita akan memantau perkara ini secara dekat dan berterusan bagi memastikan kes menyewakan unit PPR kepada penyewa lain tidak berlaku bagi memastikan objektif pembinaan PPR ini mencapai tujuannya," kata Ghulam kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

No comments:

Post a Comment