Sunday, May 2, 2010

Sekolah lokasi terbaik tanam kesedaran 3R





BAHAN KITAR SEMULA..Kelihatan Lajim memasukkan bahan kitar semula ke dalam tong sampah sebagai simbol pelancaran kempen tersebut


KUALA KUBU BHARU: Sekolah adalah tempat terbaik untuk mendidik generasi muda tentang alam sekitar termasuk konsep kitar semula.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, oleh itu kementerian beliau memilih sekolah untuk mengadakan kempen 3R (pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula).

Katanya, pelajar mudah dididik mengenai kebaikan dan faedah kitar semula serta mendorong mereka untuk mengamalkannya setiap hari.

"Melalui kempen ini juga, ia dapat membantu kanak-kanak membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam semulajadi.

"Biarpun masih muda, mereka boleh membantu menyampaikan mesej ini kepada ibu bapa, rakan-rakan serta jiran tetangga," ujarnya selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Kitar Semula di Sekolah KebangsaanAmpang Pecah Kuala Kubu Baharu di sini, baru-baru ini.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort Usaha menjaga alam sekitar pastinya tidak mengira pangkat, status atau kaum. Pendidikan dan kesedaran terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan di kalangan masyarakat.

“ Ini perlu dipupuk seawal mungkin kerana ia menjadi penentu ke arah amalan gaya hidup mesra alam dan menggalakkan kita mencintai alam sekitar.” Katanya
Sehubungan dengan itu beliau meminta orang ramai agar bekerjasama dalam memulihara alam sekitar supaya kempen kitar semula dapat mencapai matlamatnya.

Katanya, orang ramai perlu memberikan sokongan untuk menjayakan program rakan alam sekitar walaupun keadaan di kawasan berkenaan tidak begitu mendesak.

Beliau berkata, setiap individu harus sedar betapa pentingnya menjaga dan memelihara alam sekitar agar tidak tercemar dan disaran menjadi sukarelawan rakan alam sekitar.
"Penglibatan masyarakat setempat amat diperlukan supaya kempen ini memberi manfaat kepada semua dan mengujudkan rakan alam sekitar peringkat kampung," katanya.

Sepanjang program tersebut pelbagai program turut diadakan antaranya pemeran gerai yang menumpukan penghasilan dari bahan-bahan kitar semula , senamrobik, gotongroyong membersih dan mencantikkan kawsan sekolah, pertandingan lukisan , dan reka cipta bahan kitar semula dan sebagainya:

No comments:

Post a Comment