Monday, May 17, 2010

BENTUK JAWATANKUASA SELARAS PERSATUAN ETENIK







Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin bersama isteri Datin Seri Hajah Normilah Siong disambut penuh tradisi ke majlis tersebut

BEAUFORT: Persatuan-persatuan kaum di negeri ini perlu diselaras agar mampu memainkan peranan yang lebih berkesan khususnya dalam menjayakan Konsep 1Malaysia ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ketika meluahkan cadangan ini berkata, beliau pernah mengemukakan cadangan tidak rasmi berhubung perkara itu kepada beberapa pemimpin persatuan kaum di negeri bagaimanapun belum ada sebarang tindakan dan keputusan dicapai dengan cadangan tersebut

“ Walaupun perkara ini belum dibincangkan secara serius namun saya percaya pemimpin persatuan kaum di negeri ini bersetuju dengan cadangan ini yang dilihat mampu memberi impak positif kepada persatuan khususnya dalam memantapkan hubungan baik antara kaum di negeri ini “ katanya semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Tertinggi PBBS di Dewan Masyarakat Beaufort di sini malam kemarin.

Hadir sama Timbalan Presiden (PBBS) yang juga wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Haji Ombi, Pengerusi Penganjur Haji Asmat Japar, Naib Naib Presiden (PBBS) dan Setiausaha Agung (PBBS) Awang Anak Sani

Menurut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan adanya penyelarasan ini, persatuan-perstauan kaum bukan sahaja boleh menganjurkan aktiviti bersama, malah memudahkan persatuan memohon bantuan yang bersesuaian daripada kerajaan

“ Dalam tempoh terdekat ini saya bercadang mengadakan perjumpaan bersama presiden-presiden persatuan kaum di negeri ini bagi membincangkan secara serius berhubung cadangan tersebut dan berharap ianya akan mendapat maklum balas yang positif dari mereka” katanya

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut beliau berharap ahli majlis tertinggi persatuan ini dapat memikul serta melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang telah diletakkan oleh ahli-ahli persatuan untuk memperkasakan lagi arah serta perjuangan persatuan tersebut bagi mengahadapi cabaran akan datang.

Katanya melalui konsep permaufakatan serta kerjasama yang kukuh dikalangan kepimpinan tertinggi persatuan dengan sokongan dari ahli-ahli persatuan dan masyarakat Bisaya keseluruhannya tidak ada sebab bagi persatuan tersebut gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

“ Kita perlu bersatu bukan sahaja mempertahankan adat dan budaya dan memperkukuhkan perpaduan khususnya bersama menjayakan gagasan 1 Malaysia dan dalam masa yang sama kita perlu memperkukuhkan iltizam serta semangat membangunkan masyarakat Bisaya dalam pelbagai bidang, ini termasuklah bidang agama, pendidikan dan ekonomi” katanya

No comments:

Post a Comment