Wednesday, July 22, 2009

Kerajaan Sedia Peruntukan RM236.4 Juta Untuk PBT Seluruh Negara


MARANG,:Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM236.4 juta untuk geran tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjalankan aktiviti mereka tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin.

Beliau berkata peruntukan di bawah Akta Pemberian Kepada Kerajaan Negeri (Penyelenggaraan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan) 1981 itu telah pun disalurkan kepada Johor sebanyak RM35 juta serta Terengganu RM25.3 juta, dan akan diikuti Pahang tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran tahunan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu, di Pejabat PBT Marang, di sini Rabu, beliau berkata peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan itu bertujuan meringankan beban kewangan PBT dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Saya amat mengharapkan bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak akan mencetuskan semangat dan motivasi PBT untuk memberikan perkhidmatan mereka di tahap yang terbaik demi manfaat dan faedah semua penduduk di kawasan pentadbirannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah diberi peranan dan tanggungjawab untuk membasmi kemiskinan di bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Sejajar dengan peranan ini, beliau berkata kementerian komited dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.9 peratus menjelang 2010.

Lajim berkata menjadi tanggungjawab semua pihak, baik peringkat kementerian mahupun PBT selaku "urban managers" untuk mencapai matlamat yang telah digariskan itu.

Sementara itu, Lajim berkata Majlis Daerah Marang dijangka menjadi Majlis Perbandaran Marang pada tahun 2015 apabila penduduknya mencapai 150,000 orang dan pendapatan hasil RM20 juta setahun.

No comments:

Post a Comment