Saturday, July 25, 2009
Pemimpin Akar Umbi Jadi Ejen Dengar Keluhan Rakyat
LANCAR...Lajim bersama Sapawi,Abdullah serta jemputan lain menekan punat komputer sebagai simbol pelancaran program tersebut
BEAUFORT : Pemimpin akar umbi diminta mendengar rintihan dan keluhan rakyat bagi memudahkan permasalahan mereka dapat diketengahkan kepada kerajaan untuk tindakan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata maklumat yang diperolehi daripada masyarakat setempat dapat membantu kerajaan merancang projek yang perlu diutamakan serta menyediakan anggaran peruntukan.
"Oleh itu saya minta pemimpin Komuniti Bestari di negeri ini supaya sentiasa mendekati penduduk setempat bagi mengetahui masalah dan keluhan mereka dengan niat membantu menyelasaikan masalah yang mereka hadapi katanya pada perasmian Program Sepakat Bestari peringkat daerah di Padang Pekan Beaufort pagi kemarin .
Hadir sama Exco Penerangan Negeri Datuk Haji Sapawi Ahmad,Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Haji Umbi, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Abdullah Murad,Pengarah Penerangan Negeri Sabah Haji Azizan Haji Din dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd.Sidek Haji Jubar.
Program anjuran Jabatan Penerangan Sabah dengan kerjasama Umno bahagian Beaufort dan Jabatan Belia dan Sukan itu dimulakan dengan Senaman Seni 1 Malaysia yang disertai lebih dari 500 orang peserta disamping penyertaan sebanyak 44 buah jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai pemeran sempana program tersebut
Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata hubungan rapat antara pemimpin dan rakyat harus diamalkan secara beterusan agar segala bentuk maklumat mahupun masalah rakyat dapat didengari secara bersemuka.
“ Budaya turun padang perlu menjadi amalan setiap pemimpin di kawasan masing-masing, jangan sampai rakyat meluahkan rasa marah mereka kepada pemimpin dan kerajaan ekoran dari sikap kita yang kurang prihatin dengan masalah yang mereka ajukan” tambah Lajim
Beliau turut menyambut baik penganjuran program seumpama itu yang, antara lain, bertujuan mengeratkan perpaduan dan hubungan baik antara pemimpin dengan rakyat selain sebagai saluran maklumat.
"Saya yakin hubungan baik serta kerjasama antara pemimpin dan masyarakat akan menyuburkan usaha menjayakan perpaduan nasional, sekaligus memenuhi aspirasi konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Menurut Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno ,Jabatan Penerangan menubuhkan Komuniti Bestari untuk menyemai semula bibit-bibit perpaduan melalui pelbagai program bersama rakyat yang diadakan dari masa ke semasa di setiap daerah di Sabah dan ianya perlu mendapat sokongan dari semua pihak khususnya jabatan serta agensi kerajaan yang lain, pemimpin masyarakat dan juga setiap Komuniti Bestari di kawasan masing-masing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment