Tuesday, July 28, 2009
Kontraktor Melayu Diminta Tambah Ilmu Kepakaran
Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa melawat Projek PPR di Sarawak yang dimajukan oleh kontraktor bumiputera
KUALA LUMPUR, Kontraktor Melayu dan bumiputera perlu menguasai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, pelancongan, carigali minyak untuk mendapatkan projek dari syarikat gergasi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tidak bergantung kepada kontrak kerajaan semata-mata.
"Dengan pengalaman serta kemahiran tertentu yang dimiliki kontraktor, mereka tidak perlu berharap kepada projek kerajaan semata-mata sebaliknya para kontraktor mampu memperolehi sumber perolehan yang lain," kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin.
Melalui pengalaman dan kemahiran dalam bidang tertentu, kontraktor boleh memperolehi projek besar dari syarikat besar, yang antaranya Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan GLC, katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-27 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan di sini hari ini, Lajim berkata kontraktor Melayu dan Bumiputera juga diminta mengemukakan sebarang masalah kepada kerajaan sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu dasar yang diperkenal kerajaan.
"Kita menggalakkan agar para kontraktor meluahkan masalah yang dihadapi mereka untuk kita selesaikan masalah yang mereka hadapi. Beranilah bersuara jika dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan tidak memberi manfaat kepada kontraktor. Sila kemukakan dan kerajaan akan mengambil kira pandangan mereka demi kebaikan bersama, " katanya.
Terdahulu, pada mesyuarat yang berlangsung selama sehari itu, terdapat tiga usul yang dibentangkan oleh persatuan tersebut antaranya meminta Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia mendesak pihak kerajaan supaya mengkaji semula dasar Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meringankan masalah kontraktor dan menyarankan Kementerian Kewangan mengagihkan projek melalui pakej ransangan dengan adil dan berkesan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment