Wednesday, July 22, 2009

RM4.3 juta bantu keluarga miskin


KUALA TERENGGANU :Kerajaan membelanjakan kira-kira RM4.381 juta untuk membantu 1,919 keluarga miskin tegar yang tinggal di bandar-bandar di negeri ini bagi meningkatkan kualiti hidup sejak empat tahun lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata, peruntukan itu disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan di bawah program Bantuan Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, kira-kira RM2.267 juta diberikan dalam bentuk bantuan sewa rumah, bantuan pengurangan beban keluarga (RM2.029juta), bantuan ihsan (RM83,000) dan pendidikan serta latihan (RM1,800).
''Peruntukan yang diberikan untuk Terengganu itu merupakan sebahagian daripada RM97 juta yang diperuntukkan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dalam tempoh tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pembasmian Kemiskinan Bandar di Stadium Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.
Sebanyak 478 keluarga miskin di Kuala Terengganu menerima pelbagai bantuan berjumlah RM702,770 di majlis tersebut.
Lajim berkata, kerajaan komited membasmi kemiskinan dengan sasaran mengurangkan kadar keselurahan kepada 2.9 peratus menjelang 2010.
''Saya percaya bantuan yang disalurkan dapat memberi sedikit keselesaan kepada keluarga terbabit, selain dapat meringankan beban keluarga.
''Bagaimanapun, keluarga miskin perlu berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan aktiviti ekonomi seperti menanam atau berniaga dalam usaha keluar daripada belenggu kemiskinan'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment