Wednesday, July 22, 2009

Peruntukan Khas Kepada PBT Jaga Kebersihan Tandas


Imbas Kembali Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ketika meninjau tahap kebersihan tandas awam di kawasan Lembah Klang baru baru ini

KUALA TERENGGANU, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang menimbangkan untuk memberikan peruntukan khas kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khusus untuk menjaga kebersihan tandas awam.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Lajim Ukin berkata kementerian akan menghantar permohonan bagi peruntukan itu kepada kerajaan dalam waktu terdekat.

"Peruntukan yang kita mohon itu jika diluluskan, ianya khas untuk menjaga kebersihan tandas, membaiki tandas, mengecat dan sebagainya supaya ia bersih," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di sini, Selasa.

Beliau berkata kurang penyeliaan oleh PBT dan kurang kesedaran di kalangan orang awam di negara ini dikenal pasti antara punca menyebabkan tandas awam di negara ini kotor.

Walaupun pelbagai kempen telah diadakan oleh kerajaan tetapi kesedaran orang ramai tentang kebersihan tandas awam masih kurang, katanya mengulas teguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai isu tandas awam di negara ini yang kotor, tersumbat dan tiada bekalan air.

Lajim berkata terdapat PBT yang tidak berkeupayaan daripada segi kewangan untuk menggaji lebih ramai pekerja untuk menjaga kebersihan termasuk tandas awam.

"Kalau kita swastakan dengan membayar 20 sen atau 30 sen, ia tidak cukup kerana orang kurang masuk tandas," katanya.

Katanya orang ramai perlu faham bahawa menjaga kebersihan bukan sahaja untuk keselesaan diri sendiri tetapi juga untuk kepentingan negara terutamanya daripada segi pelancongan

No comments:

Post a Comment