Wednesday, July 15, 2009

Pemaju perlu prihatin keperluan pembeli rumah



Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Pemaju Perumahan perlu prihatin keperluan pembeli rumah

KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan di negara ini diminta tidak mengabaikan penyediaan kemudahan dan persekitaran yang baik kepada pembeli dan penyewa hartanah mereka bagi mengelak disenaraihitamkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin (gambar ), berkata pemaju perlu prihatin terhadap keperluan pengguna kerana mereka telah melaburkan wang yang banyak bagi membeli dan menyewa hartanah yang ditawarkan dan ia pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati jika tempat tinggal yang didiami sekadar ‘indah khabar dari rupa’.

“Jika saya membeli rumah, pastilah saya inginkan kediaman yang mempunyai persekitaran yang baik. Jika keadaan tidak selesa, pasti menimbulkan kesulitan. Tambahan lagi bagi penghuni yang mempunyai jumlah anak yang ramai. Jika kediaman bermasalah, mereka perlu cari kediaman lain, simpan perabot dan macam-macam lagi.

“Sekiranya pemaju ingkar, Kementerian tidak akan mengeluarkan lesen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka.” katanya selepas turun padang bagi meninjau permasalahan dihadapi penduduk tingkat 10,11 dan 12, Kondominium Anggun Puri, di Segambut, di sini, baru-baru ini.

Mengenai masalah keretakan dihadapi beberapa penduduk di kondominium 21 tingkat itu, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pemaju diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan segala kerja pembaikan keretakan yang tertangguh sejak Mei lalu.

Beliau berkata, sebagai syarat tambahan, DBKL turut bersetuju akan hanya memberi perakuan menduduki sementara (TCF) kepada pemaju, sekiranya mereka berpuas hati dengan penambahbaikkan yang dijalankan di situ.

No comments:

Post a Comment