Thursday, June 25, 2009
Kontrak ditamatkan jika tandas kotor
Lajim Ukin menunjukkan salah satu tandas yang kotor semasa mengadakan lawatan mengejut ke tandas awam dan sekitar kawasan Medan Selera Dataran Seri Angkasa Jaya Kampung Kerinchi, semalam.
KUALA LUMPUR 24 Jun - Duit ambil tetapi kebersihan tidak dijaga. Kemudahan yang sepatutnya ada juga tidak disediakan.
Jika itu yang berlaku, maka kontrak pihak pengurusan tandas awam swasta yang berkenaan akan ditamatkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Itu amaran Datuk Seri Lajim Ukin selepas membuat lawatan mengejut ke beberapa tandas awam di sekitar Kampung Kerinchi semalam.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu jelas tidak berpuas hati dengan tahap kemudahan dan kebersihan beberapa tandas yang dilawati.
Dua buah tandas di Medan Selera Dataran Seri Angkasa Jaya di situ mendapat penarafan C daripada Lajim kerana kotor.
Tegasnya, selain menjaga kebersihan, semua tandas awam swasta juga perlu menyediakan kemudahan mencukupi kerana pihak pengurusannya mengenakan bayaran.
"Apabila mengenakan bayaran, orang ramai mesti mendapat kemudahan yang mencukupi seperti dilengkapi dengan tisu, air, cermin yang bersih dan mesti berbau wangi.
"Kalau diswastakan tetapi sama sahaja seperti tandas lain yang percuma, baik tidak payah diswastakan," katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.
Beliau turut meminta agar bayaran yang dikenakan tidak membebankan orang ramai selain merayu pengguna sendiri turut bersama memastikan keadaan tandas sentiasa bersih.
Lawatan itu dilakukan sebagai susulan kepada keputusan Jawatakuasa Menangani Wabak Influenza A (H1N1) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kementeriannya mempertingkatkan kempen kebersihan termasuk tandas.
Mengenai tindakan lain yang akan dilakukan oleh kementeriannya, beliau berkata, kempen besar-besaran tentang kebersihan tandas di peringkat nasional dan negeri-negeri akan diadakan dalam tempoh tiga minggu lagi.
Ujarnya, kempen itu merupakan sebahagian daripada 10 langkah menangani penularan wabak H1N1.
"Kempen ini merangkumi pengedaran risalah, poster dan ceramah menangani wabak H1N1 serta tata cara penggunaan tandas yang betul kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk memperhebatkan operasi pembersihan tandas awam.
"Kempen ini akan terus dilaksanakan, bukan hanya ketika penularan wabak H1N1 bagi memastikan tandas awam sentiasa bersih sepanjang masa," tambah beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment