Monday, June 22, 2009

Sabah & Sarawak: PPR Kampung Kionsom terbengkalai dimaju semula

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my




PROJEK Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kionsom, Inanam yang terbengkalai sejak 2006.


KOTA KINABALU: Kerajaan akan membangunkan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kionsom, Inanam, di sini, yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu dengan melantik kontraktor baru bagi menyiapkan projek itu dalam masa setahun.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata kontrak dengan pemaju asal projek bernilai RM57 juta sudah ditamatkan manakala syarikat terbabit disenarai hitam daripada memasuki tender projek kerajaan.

Katanya, kerajaan terpaksa membuka tender baru untuk menyiapkan projek itu bagi memastikan sasaran menyiapkan 17,000 unit PPR untuk rakyat berpendapatan rendah di Sabah mampu dicapai dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"PPR di Kampung Kionsom mula dibina pada Julai 2003 dan sepatutnya siap pada Januari 2006 tetapi pemaju gagal melaksanakannya walaupun diberi tambahan masa sebanyak empat kali.

"Akhirnya mereka meninggalkan projek begitu saja dan ia adalah projek PPR pertama terbengkalai di negeri ini.

"Berikutan itu, kerajaan memutuskan kontrak dengan syarikat pemaju terbabit ditamatkan tahun lalu dan membuka tender baru bagi menyambung kerja pembinaan yang belum disiapkan," katanya selepas meninjau projek itu di sini, kelmarin.

PPR yang merangkumi enam blok bangunan dan 1,000 unit rumah tiga bilik itu hanya siap 58.7 peratus dengan anggaran kos dibayar kerajaan kepada pemaju kira-kira RM29 juta.

Lajim berkata, setakat ini 13 kontraktor mengemukakan tawaran menerusi tender baru yang dibuka kerajaan dengan masing-masing meminta kos pembinaan melebihi nilai asal projek itu.

"Berdasarkan tawaran dikemukakan kontraktor terbabit, kerajaan mungkin menanggung kerugian kira-kira RM30 juta kerana terpaksa menambah peruntukan sedia ada yang berbaki kira-kira RM20 juta.

"Kerajaan berharap kontraktor yang akan mengambil alih projek ini dapat menyiapkannya dalam masa setahun. Kita tidak mahu pemaju melengahkan lagi kerana sudah lama terbengkalai," katanya.
Beliau berkata, pemaju asal gagal menyiapkan projek itu disebabkan masalah dalaman syarikat dan tidak berdaya maju untuk melaksanakan projek sebesar itu.

Katanya, alasan kontraktor yang mengaitkan kegagalan itu dengan masalah peningkatan kos berikutan kenaikan harga bahan binaan tidak dapat diterima kerana projek berkenaan dilaksanakan sebelum berlaku kenaikan harga.

"Ketika projek dimulakan pada Julai 2003, belum lagi berlaku kenaikan harga besi atau simen.

"Kerajaan juga sudah membayar RM1.7 juta kepada pemaju untuk pembelian tanah bagi tapak perumahan berkenaan, oleh itu perbelanjaan mereka sudah dikurangkan," katanya.

Katanya, apabila siap rumah terbabit akan disewakan terutama penghuni setinggan warga tempatan dengan kadar RM124 sebulan.

Sementara itu, Lajim berkata empat projek PPR di seluruh negeri, masing-masing di Kunak, Keningau, Kinarut dan dan Kudat tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielak.

"Projek terbabit tidak terbengkalai tetapi kontraktor meminta ditambah masa. Mereka ada alasan yang kukuh untuk meminta tambahan masa itu tetapi kerajaan berharap ia dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan setiap pemaju yang melaksanakan projek PPR di negeri ini bagi memastikan tidak ada lagi projek yang terbengkalai.

1 comment: