Wednesday, June 10, 2009

Wajib bayar kupon?



Pengguna tidak bayar kupon letak kereta mungkin tidak dibenar baharui cukai jalan
KUCHING: Pengguna jalan raya yang tidak menjelaskan bayaran kupon letak kereta berkemungkinan tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan masing-masing.
Bagaimanapun, ia hanya akan dapat dilaksana sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) Sarawak berjaya mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan untuk memastikan pengguna membayar kupon letak kereta mereka.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin berkata, perkara berkenaan sememangnya sudah dilakukan di Sabah dan kini terpulang kepada Sarawak untuk melaksanakan peraturan yang sama.
“Di Sabah pelaksanaan berkenaan sudah dilakukan dengan pengguna yang gagal menyelesaikan bayaran kupon letak kereta tidak dibenar memperbaharui cukai jalan mereka.
“Kini terpulang kepada Sarawak jika ingin berbuat demikian,” katanya ketika majlis ramah mesra dan dialog bersama PBT Sarawak malam, kelmarin.
Beliau menjelaskan, sekiranya perkara berkenaan dilaksanakan, PBT harus berunding dan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengangkutan, Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Lajim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dalam sesi dialog bersama PBT.
Terdahulu Datuk Bandar Majlis Perbandaran Miri (MPM) Lawrence Lai menjelaskan bahawa pada tahun lepas sahaja MPM mengalami masalah RM2 juta tiket letak kereta dan bayaran saman tidak dijelaskan.
Menjelaskan mengenai kelemahan kakitangan PBT negeri ini, Lajim berkata tidak banyak perkara yang dapat dilakukan oleh kementeriannya kerana Sarawak mempunyai ordinan tersendiri berkaitan PBT.

No comments:

Post a Comment