Friday, June 5, 2009

Kerajaan Pandang Serius Balai Bomba Dibina Dekat Tanah Kubur








Lajim diiringi oleh Pengarah Bomba Sabah memeriksa perbarisan anggota bomba Sabah sejurus tiba ke majlis itu

KOTA KINABALU, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang serius pembinaan balai-balai bomba berhampiran tanah perkuburan kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan menyukarkan kerja perluasan.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Lajim Ukin berkata pembinaan balai bomba berhampiran kawasan tanah perkuburan akan menyebabkan berlaku kekangan tanah sekiranya kerajaan ingin menaiktaraf dan meperluaskan sesebuah balai itu.

Mengambil contoh ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini, beliau berkata kontraktor terbabit juga tidak memikirkan kemudahan untuk aktiviti rekreasi dan bersenam.

Dua lagi balai bomba yang dibina berdekatan tanah perkuburan di Sabah ialah balai bomba di Tambunan dan Tuaran, katanya selepas melawat bangunan ibu pejabat jabatan itu di sini, hari ini.

"Saya utarakan perkara ini pada masa ini supaya ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

"Kementerian sendiri akan turun padang dan tengok keadaan tiga balai ini, mungkin ada sesuatu berlaku semasa pemilihan lokasi itu, (saya) tidak percaya mereka yang terlibat tidak nampak perkuburan di situ," katanya.

Sementara itu beliau berkata Kementeriannya akan membuat satu kertas kerja untuk memperkasakan lagi pasukan bomba sukarela di negara ini dan ia akan di bentang kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Kita mahu pasukan bomba sukarela ini boleh berfungsi seperti askar wataniah, tanpa melalui ROS (Pendaftaran Pertubuhan Malaysia). Dengan ini kita boleh memberi latihan lengkap kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Lajim mengingatkan anggota bomba dan penyelamat supaya sentiasa bersiap sedia dalam apa juga keadaan.

"Sama ada dalam kekurangan jentera atau kekurangan anggota, (kita) tidak boleh katakan ini satu punca tidak boleh berikan perkhidmatan yang terbaik," katanya

No comments:

Post a Comment