Tuesday, June 9, 2009

Sarawak Perbanyak Rumah Di Atas Tanah Mulai Rmk-10







Kelihatan Lajim menyerahkan cendara kenangan kepada Abang Johari selepas perjumpaan tersebut
KUCHING, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju membangunkan lebih banyak rumah di atas tanah di Sarawak bermula pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata kementerian juga bersetuju hanya membina rumah pangsa sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar-bandar utama mengikut permintaan dan keperluan sahaja.

"Kementerian tidak lagi akan membina rumah pangsa sewa di bandar-bandar kecil, sebaliknya memperbanyakkan rumah di atas tanah agar pembeli rumah boleh menikmati keselesaan di ruang yang lebih luas.

"Selain itu, rumah pangsa sewa hanya akan dibina sebagai 'rumah transit' di bandar-bandar utama, khususnya kepada golongan bekerja dari daerah atau tempat lain," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sini Selasa.

Lajim berkata 'rumah transit' juga akan disewa kepada penyewa-penyewa yang masih tidak mampu memiliki rumah atau mereka yang menunggu rumah baru siap.

Bulan lepas, Abang Johari berkata rumah pangsa sewa mendapat sambutan dingin di Sarawak kerana penduduk di sini lebih menggemari rumah yang dibina di atas tanah.

Mengenai RMK-10, Lajim berkata Kementerian Perumahan Sarawak akan merancang dan mengemukakan kepada kerajaan pusat mengenai keperluan negeri ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan pusat bersetuju memberi fokus untuk membangunkan projek perumahan di kawasan sekitar Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) iaitu Mukah dan Bintulu.

Mengenai pelaksanaan 1,108 projek perumahan di Sarawak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua, beliau berkata semuanya berjalan dengan lancar.

"Peruntukan telah disalurkan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek perumahan itu dalam tempoh dua tahun ini. Kini, empat projek iaitu dua di Kuching, Bintulu (satu) dan Samarahan (satu) telah mulai dilaksanakan," katanya.

No comments:

Post a Comment