Friday, June 26, 2009

Peraturan Asing Plastik, Sisa Pepejal Lain Akan Diwujudkan


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mewujudkan satu peraturan baru bagi tujuan pengasingan plastik dengan sisa pepejal yang lain.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Lajim Ukin (gambar)berkata peraturan yang akan diwujudkan itu adalah selaras dengan dua pendekatan yang diambil oleh kementerian itu.

"Dua pendekatan itu ialah kempen mengurangkan penggunaan plastik dan kempen mengitar semula beg plastik supaya ia tidak berakhir di tapak pelupusan sisa pepejal.

"Peraturan bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti plastik daripada sisa pepejal yang lain akan diwujudkan supaya plastik sedemikian dapat dikutip untuk dikitar semula," katanya menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mengurang dan mengharamkan penggunaan plastik di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara.

Lajim berkata usaha kerajaan itu bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya orang ramai masih membuang sampah terutamanya plastik di merata-rata tempat serta tiada pengurangan penggunaannya di pasar raya-pasar raya.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang mengharamkan penggunaan plastik seperti yang dilakukan oleh beberapa negara setelah mengambil kira tindakan itu akan menjejaskan industri pembuatan plastik negara.

"Kalau kita melaksanakan (mengharamkan penggunaan plastik), bagaimana masa depan pengusaha plastik? Kita pun ada pertimbangan dan keprihatinan. Ditakdirkan sebelah sana menjadi kerajaan (pembangkang), adakah kerajaan itu akan tutup perusahaan plastik di negara kita," katanya.

No comments:

Post a Comment